Tidak mempunyai banyak pilihan untuk meneruskan pelajaran disebabkan permohonan biasiswa semua ditolak, melainkan mencari inisiatif sendiri
Merangkul gelaran pelajar terbaik STAM 2021, saudara Syed ini dikurniakan rezeki ilmu, sihat akal fikiran, dan fasih bahasa al-Quran. Meski dilahirkan dalam keluarga sederhana sahaja, namun itu tidak memutuskan harapan beliau untuk belajar lebih jauh.
Keputusan peperiksaannya yang begitu cemerlang iaitu dengan mencapai Mumtaz Sofi atau dalam kata lain, kesemua mata pelajarannya Mumtaz, beliau telah menerima tawaran untuk meneruskan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir, tambahan dalam kursus kegemarannya iaitu Bahasa Arab, oleh kerana minatnya untuk mendalami bahasa itu dan kesusasteraannya.
Kalau diikutkan, dengan keputusan yang sebegitu cemerlang, tidak sukar untuk pelajar sepertinya menerima tawaran biasiswa. Namun, hal ini menjadi agak mencabar baginya apabila semua biasiswa yang dimohon telah ditolak oleh sebab ayahnya bukanlah warganegara Malaysia.
Bekerja sebagai tukang kimpal, ayahnya juga merupakan tulang belakang tunggal keluarganya. Ayahnya yang semestinya telah sedia maklum dari awal tentang status pembiayaan pelajaran anaknya, telah bekerja dua kali ganda lebih keras dari biasa supaya saudara Syed dapat merealisasikan impiannya, walaupun dirinya sendiri ditimpa pelbagai penyakit kronik.
PPIM dengan kerjasama sumbangan.com telah mengusahakan sebuah kempen kutipan dana untuk anak muda ini supaya dapat meraih ilmu yang diimpikan dan dapat membantu keluarganya dalam masa yang sama boleh memberi manfaat kepada masyarakat pada suatu hari nanti.
Syukur kutipan yang dijalankan telah berjaya dan diberikan secara langsung kepada adik Syed pada bulan Februari lalu. Dikhabarkan adik Syed bakal terbang ke negara Arab itu pada bulan ini, September 2023 bagi melangsungkan pelajarannya.
Sejuk perut ibunya melahirkan anak yang begitu berdedikasi dalam ilmu yang dipelajari dan tekad untuk mencapai apa yang diinginkan.
Apabila ditanyakan tentang rahsia kejayaan atau rutin yang diamalkan, saudara Syed memberi pendekatan dengan memetik kata-kata Imam Syafiee,
Ilmu adalah cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati yang bermaksiat.
Saudara Syed
Justeru, amalan yang dilakukan adalah dengan melazimi solat taubat untuk sentiasa mensucikan hati dan diri secara keseluruhannya supaya lebih mudah untuk ilmu diserap dan diingat.
Subhanallah. Kata-kata anak muda ini terdengar solah-olah dipertuturkan oleh orang yang lebih matang sedangkan umurnya masih muda. Betullah kata orang, untuk melihat sama ada seseorang itu berilmu atau tidak, lihatlah dari percakapannya. Sungguh setiap bait bicara saudara Syed ini kedengaran penuh hormat dan sepadan dengan dirinya yang dianugerahkan pelajar terbaik.
Semoga berkat dari sumbangan para penderma yang pemurah sekalian, saudara Syed dapat memanfaatkannya sebaik mungkin dan menjadi seorang ilmuwan yang berguna di masa hadapan.
Jom #BuatBaik di sumbangan.com!
sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikanš¤