Kita hidup tidak lama dan kita tidak tahu sampai bila kita diizinkan bernafas dan berjalan di atas muka bumi ini.

Siapa tahu mungkin sahaja esok kita sudah tiada? Adakah kita yakin bekalan yang ada sekarang sudah cukup?

Sebenarnya, apabila kita sudah besar panjang, sudah tahu baik buruk, tiada siapa yang mampu untuk menegur kita lagi. Kita sendiri yang perlu menapak dan memilih.

Solat fardu mungkin tidak perlu diingatkan kerana itu adalah amalan wajib, pasti kita sendiri sedar. Namun, masih adakah orang yang sanggup untuk mengingatkan kita untuk mengaji?

Tidak.

Ibadah sunat jarang untuk ada yang menegur kita secara langsung. Sebagai makhluk yang penuh dengan ketidaksempurnaan, kita sewajarnya mencari sekian cara untuk menjadi yang terbaik di hadapan Allah SWT.

Bukan bersenang dengan yang wajib sahaja. Tidak cukup masa? Allah SWT kurniakan 24 jam sehari untuk semua orang, tiada yang lebih dan tiada yang kurang.

Malu kerana sudah lupa sebutan huruf hijaiyah? Belajarlah. Jika malu untuk menuntut secara fizikal sekalipun, kita boleh berguru melalui atas talian sahaja.

Ketahuilah bahawa seorang muslim yang berusaha untuk memperbaiki amalan solehnya adalah yang paling dipandang oleh-Nya.

Tambah-tambah lagi, dalam suatu hadis, Rasulullah SAW ada bersabda,

“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”. – Riwayat Muslim.

Pada hakikatnya, al-Quran tidak memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukannya.

Saudara-saudari para pembaca, jika ada yang masih tersegan-segan, berkira-kira untuk menyentuh mushaf al-Quran yang sekian lama berdebu, mulalah dari sekarang.

Semua urusan akan dipermudahkan apabila niat di hati kita baik.

Mula mengaji, insya-Allah syafaat al-Quran akan sampai kepada kita di akhirat kelak.

Jangan pernah kita lupakan penerang jalan hidup kita. Apabila kita sudah meletakkannya sebagai rutin sepertimana solat fardu, insya-Allah ia akan melekat sampai bila-bila.

Ingat, sesibuk mana pun kita, jadilah insan yang sentiasa berlumba untuk akhirat.

Doa-doakan agar kita semua diteguhkan iman dan takwa untuk menyanjung al-Quran selagi hayat dikandung badan. Amin.

Jom #BuatBaik!

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author

Write A Comment