Beberapa bulan yang lepas, saya ada pergi ke sebuah pasar raya borong di Taman Maluri untuk membeli barangan keperluan dapur yang telah berkurangan.
Pasar raya borong yang sering dipenuhi orang pada waktu tu agak lengang. Mungkin saya datang pada waktu menghampiri tengah hari jadi orang masih lagi belum memenuhi pasar raya ni untuk membeli belah.
Setelah selesai membeli barangan, terus saya ke kaunter sebelum pasar raya ni makin dipenuhi orang ramai. Barisan di kaunter pun tidak panjang. Harapan untuk pulang lagi awal kini bersinar terang. Ketika juruwang sudah hampir selesai imbas harga semua barang, datang seorang perempuan pertengahan usia (yang saya gelarkan ‘akak’) bersama 2 orang kanak-kanak, mungkin anaknya.
Dia meletakkan barangan di kaunter apabila melihat barangan saya sudah berpindah ke troli setelah diimbas juruwang. Beberapa barangan beserta snek, mungkin untuk anaknya. Ada sesuatu yang bermain di fikiran saya. Saya tak pasti saya cukup berani atau tak untuk saya buat pada waktu tu.
Kebetulan di i belakang kami pada masa tu tiada yang beratur. Saya rasa inilah peluang terbaik saya. Kalau bukan sekarang, bila lagi nak buat ‘benda’ tu kan? Saya dah nekad dan terus dengan berani dan yakinnya saya lontarkan kata-kata yang dah lama saya peram:
“Kira sekalilah. Tak apa, saya bayarkan.”
Perempuan tadi yang daripada tadi menundukkan kepalanya ralit mengira duit terus memandang ke arah saya.
“Eh, takpalah dik. Buat susah-susah je. Tak apa.”
Sesekali dia cuba menyelitkan duit ke tangan saya tapi saya lagi cepat menolak dengan sopan. Saya memang nak bayar barang yang dia nak beli.
“Terima kasih dik. Terima kasih banyak-banyak! Cepat cakap terima kasih kat abang,” sambil memandang anak-anaknya. Jelas terpancar kegembiraan di wajah mereka, terasa bahagia melihatnya.
Kemudian saya berlalu pergi sambil menjinjit barangan yang saya beli.
Bukan banyak pun kakak tadi tu beli,tapi pada waktu itulah saya rasa saya manusia yang paling pemurah sekali walaupun harga barang akak tadi tak sampai RM50 pun.
Tapi, apa yang saya cuba nak sampaikan adalah untuk membahagiakan orang, tak perlu sampai nak belanja beratus ringgit Malah, tak perlu tunggu nak jadi kaya pun.
Sebenarnya, saya berani nak buat begitu disebabkan pada masa tu, orang tak ramai seperti kebiasaan dan hanya kami saja yang ada ketika tu. Mungkin Tuhan telah menakdirkan kakak tu untuk beratur di belakang saya supaya saya boleh buat benda yang saya dah lama teringin nak buat kat orang iaitu bersedekah.
Tiada Lagi Manusia Yang Bersifat Insan
Situasi kini banyak berubah. Nilai ini semakin lama semakin berkurang dalam orang kita sendiri tanpa mengira kaum dan agama. Mereka hanya pedulikan tentang satu benda saja, diri mereka sendiri.
Tiada yang lagi penting daripada diri mereka sendiri. Itu anda boleh tengok sendiri di mana-mana sahaja, sama ada di atas jalan raya, di tempat awam ataupun di kawasan perumahan sendiri.
Sikap yang bukan manusia ini tidak akan menjadikan masyarakat lebih bertamadun malah lagi menjadikan mereka kembali mundur dengan kurangnya sifat kasih dan peduli akan orang lain.
Berkongsilah. Memberilah. Setakat mana yang kita mampu dan terdaya. Walaupun nilainya tidak banyak, ia mampu mengubah nasib mereka yang menerima manfaat daripada sumbangan anda.
Kita nak jadi sebuah masyarakat yang bertamadun, yang maju dengan kebajikan terjamin untuk semua kelas masyarakat tanpa mengira kaum, agama, warna kulit dan ideologi.
Dan kita mampu untuk mencapai ke arah itu dengan mudah tetapi semuanya bermula dengan diri kita. Apabila kita sudah mula, mesti ramai yang akan turut lakukan apa yang kita mulakan. Sebab kebaikan ni macam dominu, bila seseorang mulakan, akan ada yang turut ikut sama.
Betul lah kan? Terlalu ringan dan mudah untuk menjadi seorang insan ni. Kalau anda tak pernah bertemu dengan orang yang baik, apa kata anda yang jadi orang baik tu!
Kalau anda nak membuat kebaikan tapi nak cara lebih mudah apa kata anda memberi dan menderma saja di sumbangan.com. Dengan pilihan lebih ribuan kempen kebajikan yang boleh anda pilih, sumbangan.com kini memudahkan kebaikan untuk semua!
Teruskan beramal dan menyumbang di sumbangan.com, Memudahkan Kebaikan.