Apabila disebutkan tentang mak ayah, laju sahaja mata kita berkaca. Itu memang tidak dapat dinafikan kerana tempat mereka itu amat istimewa di hati anak-anak.
Mana tidaknya, ibubapalah yang membesarkan kita, yang mendidik, yang bersama kita ketika susah mahupun senang, membanting tulang sehari-hari bagi memastikan makanan sentiasa tersedia di meja makan.
Lihatlah dari sisi mana sekalipun, ibubapa adalah tunjang utama dalam hidup seorang anak.
Justeru, sebagai anak, wajib bagi kita untuk berbakti kepada kedua orang tua kita, selagi hayat di kandung badan.
Sejujurnya, membahagiakan ibubapa tidaklah hanya terletak pada wang ringgit, tapi cara kita melayan mereka yang disertakan keikhlasan.
Pertama sekali, kita boleh mendoakan kesejahteraan serta keampuan buat mereka tidak kira masih hidup atau telah meninggal dunia. Doa adalah kunci segalanya, lebih-lebih lagi doa anak yang soleh boleh membantu ibubapa di akhirat kelak.
Selain itu, sedekah. Tidak semestinya dengan wang ringgit sahaja. Segala bentuk sedekah selagi niat ganjaran dari kebaikan tersebut adalah buat ibubapa kita, insya-Allah kita tergolong dalam kalangan mereka yang berbakti kepada orang tua.
Ketiga, memberi kemudahan untuk ibubapa, iaitu sentiasa mencari inisiatif untuk memudahkan urusan ibubapa meski tidak diminta. Terkadang ada sahaja sesuatu yang menyulitkan mereka, tetapi tidak sanggup untuk diadukan kepada kita. Jadi, wajar bagi kita untuk cakna akan perkara sebegini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Sehubungan itu, setiap ibubapa pastinya mempunyai kelebihan tersendiri. Oleh itu, kita sebagai anak perlulah sentiasa memuji mereka supaya mereka merasa lebih dihargai. Pujian yang baik dapat menggembirakan mereka dan itu adalah tanggungjawab kita sebagai anak.
Di samping itu, ketika mereka memberi nasihat atau pandangan sendiri mengenai situasi tertentu, kita perlu akur dan menerima dengan berlapang dada. Hormat pendapat mereka adalah salah satu kunci keberkatan dalam hidup supaya mereka tidak berkecil hati.
Begitu juga ketika mereka berbicara, adalah baik sekiranya kita memberi perhatian. Siapa sahaja yang suka jika orang tidak mengendahkan ketika kita berbicara? Dengarlah apa yang ingin dikatakan meski mereka mengulang perkara yang sama beratus kali sekalipun sebab kita tidak tahu bila terakhir kali kita dapat mendengarnya.
Akhir sekali, sering-seringlah datang berkunjung dan bertanya khabar orang tua kita kerana mereka sentiasa menantikan kehadiran kita. Pada usia kita ini, kita sedar bahawa masa kita sentiasa terhad antara kerja dan cuti, namun jika diizinkan dan berpeluang, pulanglah ke kampung halaman.
Dalam hidup kita yang dikirakan panjang ini, kita hanya dikurniakan seorang ibu dan seorang ayah sahaja. Jagalah kesempatan yang kita ada sekarang sebaik-baiknya sebelum menyesal di belakang hari.
Moga-moga kedua ibubapa kita sentiasa dipelihara dan di dalam lindungan Allah SWT.
Jom #BuatBaik!
sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.