Hari raya membawa seribu keceriaan di wajah-wajah muslimin muslimat dalam mewarnai bulan yang penuh kesyukuran setelah sebulan lamanya berperang dengan hawa nafsu.
Bersempena dengan bulan Syawal, jemputan rumah terbuka dari sanak-saudara, sahabat handai dan jiran tetangga terus sahaja membukit, menanti kedatangan kita untuk bersama meraikan hari-hari pada bulan yang penuh kegemilangan itu.
Meskipun sudah berabad kita lalui perayaan ini, namun masih ramai yang tidak jelas dengan adab dalam bertandang ke jemputan rumah terbuka.
Salah satu daripadanya adalah datang hanya pada waktu yang ditetapkan. Waktu boleh disebut sebagai isu yang sensitif jika tidak disiplin kerana boleh membawa kepada kurang senang dalam diri tuan rumah jika tidak ditepati. Lebih-lebih lagi apabila berada di rumah mereka terlalu lama sehingga memberatkan tuan rumah yang perlu melayan tetamu lain juga.
Bersalaman pula janganlah dibuat lupa! Jejak sahaja kaki di rumah orang, adalah adab kita sebagai tetamu untuk mencari tuan rumah dahulu untuk memaklumkan kehadiran kita dan bersalaman dengan mereka.
Kebiasaannya pada hari raya, kita sering mengosongkan perut untuk diisi dengan pelbagai juadah di rumah-rumah terbuka, namun perlu diingat bahawa makan tidak boleh gelojoh. Makan gelojoh ini tabiat yang tidak sopan kata orang, boleh buat orang salah anggap, seolah-olah sudah lama kita tidak diberi makan padahal sudah berapa banyak rumah terbuka yang dijejak.
Tambahan, ada pula yang ingin mencuba semua hidangan yang dijamu, tapi pada akhirnya tidak dapat dihabiskan. Tidak salah untuk mencuba kesemuanya, namun lebih baik jika kita hanya mengambil sebahagian kecil sahaja, cukup untuk merasa makanan bagi mengelakkan pembaziran.
Sungguh bab pemakanan banyak isunya, apatah lagi jika datang bersama anak kecil. Makan bersepah itu mungkin tidak akan lari lagi, tapi sebagai menghormati tuan rumah dan memudahkan kerja mereka, lebih bagus kalau kita kemaskan sendiri. Ia bukan sahaja menyenangkan tetamu lain, namun juga dapat memberi contoh yang baik kepada anak-anak.
Pada hari rayalah kita diberi peluang untuk bertemu mata dengan saudara mara serta kawan-kawan yang sudah lama tidak berjumpa. Lazimnya, pada ketika itu sahajalah segala cerita dan gosip yang sudah lama tersimpan bakal diborakkan atau dalam kata lain membawang. Walau bagaimanapun, jika diingatkan hari raya sebagai hari untuk bermaaf-maafan, tidak manis apabila isu yang diperbualkan hanya tentang keburukan orang lain.
Rasulullah SAW juga ada besabda yang bermaksud,
‘Siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat hendaklah dia berkata baik atau diam.’ – Riwayat Bukhari
Jagalah adab kita, kerana adab kita menggambarkan siapa kita dan keluarga kita. Adab juga amat dititikberatkan oleh junjungan besar kita, Rasulullah SAW,
‘Tiada yang lebih berat dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat daripada keindahan akhlak. Dan ALLAH benci kepada orang yang keji mulut dan kelakuan.’
(Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)
Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.