Dilahirkan sebagai seorang muslim tidak bermaksud kita benar-benar faham keseluruhan erti Islam. Namun begitu, kita tetap berkesempatan untuk berkeperibadian seolah-olah seorang muslim yang sejati selama sebulan pada setiap tahun iaitu bulan Ramadan.

Kenapa hanya Ramadan?

Pada bulan Ramadan, kita disyariatkan untuk menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum, tetapi dari segala perkara yang boleh memberi dosa seperti mencela, hasad dengki, zina dan seangkatan dengannya.

Dengan melatih diri daripada terus dengan sikap yang disukai Allah SWT, lama-kelamaan ia akan menjadi tabiat kita dan secara tidak langsung personaliti diri juga akan berubah kerana terbiasa dengan perilaku elok dalam tempoh yang lama dan berterusan.

Mustahil untuk tingkah laku seseorang itu berubah secara drastik, akan tetapi, dengan tekad dan azam yang kuat, insya-Allah segalanya akan berlaku. Bak kata orang putih, consistency is the key.

Oleh itu, dalam penulisan kali ini, kita akan sama-sama telusuri nilai-nilai Ramadan yang semestinya boleh dijadikan amalan seumur hidup (bukan pada bulan Ramadan sahaja).

Berpuasa untuk kesihatan.

Berpuasa, sebagaimana kita tahu, adalah salah satu cara terbaik yang telah dibuktikan oleh para ilmuwan dari segi kesihatan yang bukan sahaja menjadi detoksifikasi dalaman, tetapi juga membantu penurunan berat.

Tambahan, Islam juga menggalakkan kita untuk berpuasa sunat pada hari-hari istimewa setiap bulan sebagai contoh Hari Arafah, jadi puasa boleh dikatakan merupakan amalan yang tidak asing dan amat bagus untuk diamalkan sepanjang tahun.

Amalan ajaran Islam dalam rutin harian.

Kebiasaannya, hanya pada bulan Ramadan kita menerapkan rutin solat berjemaah, lebih-lebih lagi ketika terawih, dan apabila perginya bulan ini, maka rutin itu juga hilang. Sedangkan, solat jemaah amatlah dianjurkan dan besar pahalanya, jadi wajar untuk kita teruskan nilai ini di bulan-bulan yang lain.

Sebagai contoh, dengan hanya menjadikan waktu Maghrib sebagai waktu berjemaah, lama-kelamaan kita mungkin akan tergerak hati untuk solat berjemaah bagi waktu lain juga.

Sedekah.

Kadang kita sentiasa mempersoalkan bahawa siapa yang sepatutnya bersedekah dan siapa golongan yang wajar menerima sedekah. Namun, jarang kita terfikir dengan sedikit lebihan rezeki yang kita ada untuk dihulurkan kepada mereka yang memerlukan. Mungkin kerana kita berasa bahawa kita lebih memerlukannya, pada hakikatnya di luar sana begitu ramai yang masih berlapar dan ada juga tiada bumbung untuk berteduh.

Meski kita tidak mampu memberi dalam bentuk wang ringgit, membahagiakan mereka yang bersedih atau menghulurkan makanan bagi mereka yang lapar juga sedekah. Jadi, jangan memperkecilkan erti sedekah, dan mulakannya sebagai rutin harian dan bukan hanya pada bulan Ramadan.

Memohon Kemaafan.

Maaf bukan hanya dilafazkan apabila bersalaman pada hari raya, tetapi merupakan ungkapan yang sepatutnya menjadi kelaziman dalam hidup kita apabila melakukan kesalahan. Ia bukan hanya dapat merungkai permasalah dan mengeratkan silaturrahim, tetapi hati kita juga akan lebih tenang.

Walau bagaimanapun, memohon kemaafan yang sesungguhnya bukan hanya pada manusia sahaja, tetapi terhadap Maha Pencipta. Setiap solat dan doa haruslah kita selitkan permohonan maaf dan ampun untuk dosa yang lampau dan akan datang kerana terkadang kita mungkin ada terlepas pandang dosa yang pernah kita lakukan secara tidak sedar.

Justeru, dengan nilai-nilai ini dan banyak lagi amalan baik yang sering kita praktikkan pada bulan Ramadan, jika diamalkan sepanjang tahun, seumur hidup, insya-Allah hidup kita akan lebih diberkati dan diredhai Allah SWT.

Jom #BuatBaik di sumbangan.com!

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author

Write A Comment