Meniti hari-hari di dunia akhir zaman ini, fitnah begitu berleluasa sehinggakan orang baik juga terkandas. Lebih-lebih lagi dengan kewujudan media sosial yang telah menjadi medan umpatan yang tidak lagi bertapis.
Fitnah, pada asalnya timbul kerana sangkaan semata. Kadang oleh kerana sangkaanlah yang menjatuhkan malapetaka dalam hidup seseorang iaitu tidak lain dan tidak bukan ke atas mangsa keadaan ‘sangkaan’ tersebut.
Lazimnya, sangkaan/bersangka disifatkan sebagai perihal yang negatif. Hal ini kerana takrifannya yang memaksudkan seseorang menaruh syak atau curiga atau mempunyai persepsi tertentu tanpa sebarang bukti kukuh untuk menyokong sangkaan tersebut.
Ada kalanya dengan sangkaan persendirian inilah yang membuatkan mereka sanggup menabur fitnah atau syak wasangka kepada orang lain bagi menutup bukti yang tiada, seterusnya membawa kepada fitnah.
Sedangkan Allah SWT telah memberi amaran kepada kita bahawa fitnah adalah lebih buruk dari membunuh.
“…dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ…”
[Surah Al-Baqarah: 191]
Mengambil iktibar dari isu yang telah membanjiri dada-dada akhbar sejak 7 tahun lalu, isu yang meruntun jiwa untuk anak semuda 21 tahun telah kembali ke Ilahi akibat tuduhan melulu.
Isu yang bermula dengan tuduhan, membawa kepada fitnah yang sehingga kini tiada sebarang petunjuk yang dapat membuktikan penuduhan tersebut…dan berakhir dengan kematian mangsa keadaan.
Innalillah.
Umar bin Al-Khattab r.a. telah berkata;
“Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimat yang keluar daripada seorang saudara mukminmu (sangkaan) keburukan, selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.”
Justeru, selagi masih ada ruang untuk kita bersangka baik, bersangka baiklah. Sekalipun sudah tiada ruang lagi untuk bersangka baik, semestinya kita dapat menciptanya, atau setidaknya biarkan pihak yang bertanggungjawab menghakiminya dan bukanlah kita.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.”
[Surah al-Hujurat, ayat 12]
sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.