Saudara saudari para pembaca, pernah dengarkah perkataan istidraj?

Sungguh gah namanya, tapi bukanlah membawa makna yang baik. Atau, mungkin difikirkan baik, namun sebenarnya adalah beban untuknya.

Istidraj kebiasaan berlaku dalam keadaan seseorang itu tidak sedar oleh kerana ceteknya ilmu agama mereka. Bangga dengan apa yang diri sendiri telah capai sehingga merasakan bahawa makanan rohani sudah tidak lagi relevan.

Ciri-ciri istidraj adalah mereka ini memiliki harta yang melimpah-ruah atau badan yang sihat, namun tidak terasa sedikit pun berat jika tidak mengerjakan perintah Allah SWT.

Mereka adalah insan yang kebiasaannya enggan solat, dan menganggap diri mereka mampu kecapi impian tanpa sujud kepada Yang Satu.

Nauzubillah.

Semoga kita dijauhkan dari sikap seperti ini.

Kita hidup di dunia pinjaman Allah SWT ini haruslah akur akan peraturan dan tanggungjawab yang digalaskan di bahu sebagai seorang insan yang bergelar khalifah di muka bumi.

Sekalipun kita kejar untuk hidup yang senang, perlulah beringat bahawa ketenangan hati hanya diperoleh jika Allah SWT izinkan.

Firman Allah SWT lagi:

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya.”

[Surah al-Bayyinah: 5]

Meski dengan segala apa yang mereka miliki terlihat mudah dicapai, namun itulah sebenarnya hukuman mereka di dunia ini. Diuji dengan kekayaan, tetapi, diri masih bergelumang maksiat oleh kerana Allah SWT tidak lagi memandang mereka melainkan mereka kembali ke pangkal jalan.

Justeru, berhati-hatilah. Bimbang andai kita secara tidak langsung tergolong dalam kalangan mereka yang dijerumuskan ke lembah jahannam.

“Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

[Surah Al-Hadid: 20]

Wallahu’alam.

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author

Write A Comment