Di era yang serba membangun kini, kita asyik terleka dengan segala macam perkara tidak kira dari segi hiburan, makanan atau apa-apa sekalipun sehinggakan kita terlupa bahawa yang bekerja keras dalam segala hal adalah badan kita.

Hanya badan sihat yang mampu memberi kita peluang untuk melangkah jauh dan melakukan semua yang dikatakan sebagai ‘trend’ terkini. Walau bagaimanapun, disebabkan terlampau banyak perkara ‘viral’ yang sesetengah memikirkan perlu diikut lebih-lebih lagi berkenaan makanan atau karnival, maka kesedaran untuk benar-benar menjaga badan sendiri telah tenggelam.

Badan kita adalah pinjaman dari Allah SWT, jadi jika terapkan pemikiran sebegitu, secara tidak langsung kita akan menjaga sebaiknya kerana telah menjadi tanggungjawab ke atas kita.

Contoh terbaik adalah mengenai seorang artis Malaysia yang terkemuka yang giat berkongsi tips gaya hidup sihat sesuai untuk semua yang baru ingin belajar dan tidak tahu dari mana dan bagaimana untuk memulakannya.

Mengikut artis tersebut yang juga dikenali sebagai Alif Satar, untuk mendapatkan senaman yang berkesan seperti joging, bukanlah bergantung kepada sasaran jarak, akan tetapi melalui sasaran masa yang kita letakkan secara tetap. Pada mulanya, kita mungkin tidak puas hati dengan jarak yang begitu pendek yang dicapai dalam waktu tersebut, namun apabila semakin lama baru kita akan dapat melihat peningkatannya.

Kuncinya adalah tidak berputus asa dan lakukan hampir tiap-tiap hari, insyaAllah akan berjaya.

Selain dari mengekalkan tubuh badan yang sihat, artis ini turut memulakan projek yang dinamakan sebagai ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ yang tidak disangka-sangka mendapat sambutan yang baik sehinggakan semakin banyak masjid-masjid yang dilihat begitu imarah seawal pagi Subuh.

Melalui laporan Awani, Alif memulakan projek tersebut dengan hasrat untuk membaiki diri sendiri yang terkesan setelah mendengar suatu ceramah dari kelas agama yang diikuti. Besar impak ceramah tersebut sehinggakan kini misi tersebut yang juga telah menjadi suatu ‘trend’ di negara kita, membuahkan hasil yang begitu baik.

MasyaAllah berkat seorang pempengaruh yang benar-benar menggunakan platformnya untuk kebaikan, kini telah menyuburkan motivasi untuk beramal baik untuk semua muslim di sini.

Inilah yang dikatakan gaya hidup yang sihat, tidak hanya dari segi fizikal, tetapi juga rohani. Insya-Allah, semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat menimbulkan minat untuk kita semua ‘slow-slow’ ikuti gaya hidup sihat.

Jom #BuatBaik di sumbangan.com!

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author

Write A Comment