Buang rasa bangga diri, jadikan bulan ini sebagai ‘stepping stone’ untuk berterusan mengejar pahala sehingga hati yang gelap akan bersih.

Adalah rugi bagi seorang muslim itu apabila mereka beribadah tapi tidak mendapat pahala atas beberapa sebab tertentu yang tidak diredhai Allah SWT. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. 

[Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690]

Menerusi hadis ini, kita mungkin keliru apa yang dimaksudkan dengan orang berpuasa dan yang berqiyam tetapi sia-sia tanpa pahala.

Dalam keadaan semasa kita iaitu di bulan Ramadan, puasa kita boleh dikategorikan sia-sia apabila kita tidak meninggalkan kata-kata serta perbuatan keji dan dusta yang mana ini telah disokong dengan sebuah hadis dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda;

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. 

[Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1770, 5597]

Di samping itu, puasa kita juga sia-sia sekiranya kita tidak meninggalkan perkataan yang melalaikan dan lucah sebagaimana hadis ini yang diriwayatkan Abu Hurairah RA,

“Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan lucah”. 

[Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/154]

Manakala yang disebutkan tentang qiyam yang sia-sia di awal perbincangan tadi menurut Mufti adalah apabila mereka mendirikan solat tanpa wujudnya ikhlas di dalam hati, khusyuk di dalam solat, dan boleh jadi juga kerana riya’. 

Semuanya berbalik kepada hati. Segala amalan kita, sekiranya hati kita sudah keruh, bukan dengan membiarkannya, sebaliknya cuba sedaya upaya untuk membersihkannya kembali dengan memperbanyakkan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apatah lagi pada bulan yang mulia ini, selama sebulan kita berperang dengan lapar dan dahaga dan mengerjakan segala kebajikan, namun tidakkah sakit rasanya apabila semuanya hanyalah sia-sia?

Justeru, apabila melakukan sesuatu amalan itu sebagai contoh puasa, bukan hanya memelihara puasa, tetapi juga peliharalah pahala puasa.

Semoga bermanfaat.

Wallahu a’lam.

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author

Write A Comment