Saidina Hamzah RA merupakan bapa saudara kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. 

Beliau bukanlah antara yang terawal memeluk Islam, namun beliau dikisahkan memeluk Islam kerana tidak tahan melihat anak saudaranya dihina. Lama-kelamaan Allah SWT melapangkan dadanya dan beliau menjadi salah seorang pahlawan hebat dalam perjuangan Islam.

Dikisahkan sang Singa Allah ini syahid dalam perang Uhud di tangan musyrikin. Keadaan mayatnya dikatakan begitu buruk dengan perutnya terburai, sehinggakan saudarinya Safiyyah datang untuk menjenguknya bersama kain kafan juga dilarang kerana diketahui hati perempuan adalah ibarat tisu. 

Walau bagaimanapun, kain kafan tersebut diambil untuk menyelubungi mayat Saidina Hamzah, akan tetapi, apabila mereka melihatkan ada satu jasad seorang syuhada yang turut terbaring di sisi beliau dalam keadaan yang sama tanpa kain kafan, mereka berhenti sejenak.

Lalu, mereka bersepakat untuk membahagikan kain kafan tersebut dan menurut pengundian, bahagian yang panjang sampai kepada saudara tersebut, tapi yang pendek pula kepada Hamzah. Meski mereka tahu Hamzah lebih berhak ke atas kain tersebut, namun perjuangan Islam yang menerapkan erti kesamaan membawa mereka kepada keputusan sedemikian. 

Maka, jasad Hamzah RA ditutupi dari kepala hingga seluruh badan dengan kain kafan, dan bahagian kaki yang tidak dilitupi kain, mereka tutup dengan daun-daun, dan sesungguhnya beliau tergolong dalam kalangan ahli syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Penghulu para syuhada ialah Hamzah bin Abdul Muttalib.” – Hadis Riwayat Al-Hakim.

Demikianlah yang diceritakan erti keadilan dalam hidup bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT melainkan mereka yang beramal soleh.

Justeru, banyakkan ilmu dan amalan akhirat, insya-Allah kita bakal ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. 

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author Admin

Write A Comment