Bapa merupakan satu sosok yang amat penting dalam membentuk anak-anak. Bermula dari lahirnya seorang anak itu sehinggalah besar, mereka belajar dari apa yang dipertontonkan, dari apa yang mereka ‘consume’.

Peranan bapa amat penting dengan berterusan menerapkan nilai yang baik tidak kira dari segi lisan mahupun praktikal. Inilah yang menjadi penyebab kenapa kita sering diarah untuk bertingkah baik di hadapan anak kecil kerana setiap perlakuan dan tutur kata akan menjadi pelajaran bagi mereka.

Apatah lagi apabila mereka sedar bahawa perlakuan itu dilakukan secara kerap, makin mudah untuk mereka pelajari. Belum lagi yang diajar secara ‘langsung’ seperti memaklumkan mereka tentang apa sahaja dengan tujuan mendidik.

Jadi, apa perkara baik yang sepatutnya bapa didik atau tunjukkan sebagai amalan supaya boleh memandu anak untuk menjadi manusia berguna suatu hari nanti?

SEDEKAH.

Sedekah, meski hanya sunat, layak diajar supaya anak-anak tidak memandang rendah terhadap orang lain serta menganggap semua manusia adalah sama sahaja.

Gambar dari Liputan6.com

“Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain melainkan Allah akan menambah kemuliaannya, dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” 

(Riwayat Muslim no 4689)

Sedekah yang dituntut seperti zakat, dan sedekah yang disunatkan merupakan dua amalan berbeza, namun kedua-duanya bakal membentuk persepsi yang kuat oleh anak-anak apabila bapanya sering melakukannya.

Sebagai contoh bapa yang lebih memilih untuk membayar zakat fitrah di bulan Ramadan secara fizikal dengan pergi ke masjid mengikut mukim yang keluarganya bermastautin, dengan membawa sekali anaknya. Dengan begitu, mereka dapat belajar secara langsung dan semestinya banyak soalan yang ditanyakan.

Gambar dari Berita Harian

Atau boleh juga mencontohi ibu yang sentiasa memasak lebih dan meminta anaknya untuk menghantarkan makanan tersebut kepada jiran tetangga bagi mengajar mereka erti berbagi serta erti kejiranan.

Gambar dari BERITA Mediacorp

Berbalik kepada apa yang telah disebut di awal penulisan ini, anak-anak belajar melalui apa yang ditunjukkan secara langsung dan tidak langsung.

Oleh kerana sedekah adalah amalan sunat, jadi jarang dilakukan kecuali keluarga yang sememangnya sudah terbiasa dengan amalan tersebut.

Benar, sedekah merupakan suatu amalan yang perlu dilakukan secara diam, akan tetapi, dalam erti kata mendidik, boleh bagi ibubapa mensengajakan perlakuan tersebut di hadapan anak-anak sekerap mungkin agar lebih cepat dipelajari dan insya-Allah diaplikasikan pada suatu hari nanti.

Gambar dari Harakatuna.com

Bak kata orang, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Apalagi anak lelaki yang kebanyakannya menganggap ayahnya sendiri sebagai idola.

Maka dari itu, buat bapa yang juga tulang belakang keluarga, di samping sibuk dengan urusan harian, amalan baik seperti bersedekah haruslah dititikberatkan dan dilatih supaya anak-anak menganggapnya sebagai norma dalam hidup mereka.

Bukan sahaja dapat berkongsi rezeki, malah turut mendapat pahala yang mengalir seperti sungai.

Subhanallah.

Jom #BuatBaik!

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author

Write A Comment