Rabiul Akhir, bulan dimana Sayidina Umar Al-Khattab diangkat sebagai Khulafa’ Al-Rasyidin ke-2. 

Ia menjadi saksi permulaan tanggungjawab beliau sehinggakan pada satu malam dengan hasrat di hati ingin melihat rakyatnya dengan lebih dekat, beliau keluar menyamar untuk meronda bersama pembantunya, Aslam. Namun, secara tidak sengaja terlihat suatu kejadian yang meruntun hati.

Dalam rondaannya, mereka ternampak seorang ibu yang sedang memasak, manakala anak-anaknya semua menangis kelaparan. Yang anehnya, masakan tersebut tidak berpenghujung.

Tiba-tiba, beliau terdengar si ibu itu berulang-ulang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap khalifah yang pada pendapatnya zalim kerana tidak membantu. 

Lalu, beliau memberanikan diri untuk mendekat dan bertanyakan perihal anak yang menangis dan masakan yang sekian lama dimasak. 

Walau bagaimanapun, jawapannya membuatkan Umar terkedu. Katanya, mereka tiada makanan dan yang dikatakan masakan itu hanyalah batu semata, dan dia berpura-pura memasak dengan harapan anak-anaknya akan tertidur akhirnya akibat kepenatan menangis kelaparan.

Tambahnya lagi, suaminya baru sahaja meninggal dunia menyebabkan pihak Baitulmal tidak mengetahui kesusahan si ibu ini, dan dirinya tidak berpuas hati dengan kepimpinan khalifah kerana tidak mengambil tahu perihal rakyatnya. 

Mendengarkan hal itu, mengalir air mata Umar, lantas beliau pergi ke Baitulmal dan membungkus beberapa makanan dalam sebuah karung untuk keluarga kecil itu dan terus dipikul untuk diberikan kepada si ibu.

Keesokannya, Umar memanggil si ibu itu datang menghadap dan mengambil peluang tersebut untuk memohon maaf. Beliau turut menjanjikan keluarga tersebut dengan bantuan berterusan dari Baitulmal sehingga anak-anaknya dewasa kelak.

Nyatanya, tidak semestinya pemimpin sahaja, kita sendiri juga wajar mengambil berat tentang orang sekeliling yang susah sebagaimana sabda Rasulullah SAW, 

“Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat…” (Riwayat Muslim)

Jom #BuatBaik!

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author Admin

Write A Comment