Anak adalah anugerah Allah SWT. Anugerah yang sangat besar dan hanya orang benar-benar mampu sahaja Dia titipkan untuk dijaga selayaknya. Sepertimana mereka ini dititipkan dengan penuh bersih, seperti itulah penjaga yang bertanggungjawab perlu menjaganya.

Walau bagaimanapun, di usia akhir zaman ini, kes yang melibatkan janin yang belum lahir sehinggalah anak yang masih di bawah umur 18 tahun adalah begitu banyak dan sepertinya sudah menjadi suatu kelaziman dengan indeks purata lebih seribu pada setiap tahun, menurut suatu penulisan berita pada tahun 2022.

Sama ada berkisarkan kisah digugurkan kandungan, dibuang, ataupun diseksa semua isu ini sudah acap kali berlaku sehinggakan segala usaha kerajaan yang cuba membendung sudah laksana mencari sungai yang tiada berhulu.

Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taghabun, ayat ke-15 yang bermaksud,

“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

Ayat ini jelas memaksudkan bahawa anak itu, selain dititipkan sebagai anugerah, mereka juga disifatkan sebagai ujian buat para penjaga sepertimana harta yang dilimpahkan olehNya. Apatah lagi buat mereka yang dilahirkan yatim piatu. Mungkin ada yang sempat mengenal ibubapa sendiri, tapi ramai juga yang tidak.

Rasulullah SAW amatlah menggalakkan kita untuk berbuat baik kepada anak-anak yatim kerana sesungguhnya mereka yang berlaku sebaliknya akan mendapat dosa.

Di Malaysia atau di negara-negara luar sekalipun, terdapat banyak tempat perlindungan yang diusahakan oleh orang baik untuk anak-anak ini. Namun begitu, ada banyak juga yang didirikan hasil dari tabung derma orang ramai dan ada yang bergantung sepenuhnya terhadap tabung itu untuk sebarang pengoperasian.

Hal ini secara tidak langsung bermaksud segala keperluan atau kelengkapan di rumah-rumah kebajikan sedemikian adalah terhad disebabkan sumber kewangannya kurang. Pertubuhan Baitul Asnaf merupakan salah satu organisasi yang sudah menaungi ramai anak-anak yang kurang bernasib baik, tidak kira anak yatim, atau datang dari keluarga yang bermasalah, atau OKU, atau gelandangan, kesemua kategori ini wujud di bawah penyeliaannya.

Bukan semua orang berpeluang untuk berbuat pahala sebesar ini, dan mereka ini yang meletakkan anak-anak ini di atas meski tanpa pertalian darah, mereka inilah yang paling dekat dengan baginda SAW di syurga kelak.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jari baginda SAW) di syurga”. 

[Riwayat Muslim, (2983)]

Biarpun terdapat ramai yang kini bimbang tentang ketidakstabilan ekonomi, tambahan dengan harga barang serta kos sara hidup yang kian meningkat, kempen ini tetap berjaya mencapai sasaran kutipan. Alhamdulillah.

Semoga dengan berjayanya kempen ini, lebih banyak para penyumbang di luar sana boleh melihat impak RM10 yang dianggap kecil, namun berjaya meneruskan pengoperasian sesebuah organisasi.

Jom #BuatBaik di sumbangan.com!

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan🤍

Author

Write A Comment