Syawal adalah bulan kemenangan. Ia bukan sahaja menandakan tamatnya Ramadan, tetapi juga membuka ruang untuk kita kembali menyambung silaturrahim yang mungkin terputus dek kesibukan hidup. Budaya kunjung-mengunjung ketika Aidilfitri sememangnya menjadi tradisi yang sangat indah dan sinonim dengan masyarakat kita. Namun, dalam keterujaan menyambut Syawal, ada satu perkara yang kadangkala kita terlepas pandang iaitu adab ketika menziarahi.

Islam sebagai agama yang syumul sangat menitikberatkan soal adab dalam semua aspek kehidupan, termasuklah ketika ingin menziarahi seseorang. Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 27-28, mengingatkan kita agar tidak memasuki rumah orang lain tanpa keizinan. Malah, jika tidak diberi izin, kita diajar untuk berundur dengan hati yang lapang dan tanpa rasa kecil hati.
Adab ini mengajar kita untuk menghormati ruang dan keselesaan tuan rumah, serta meletakkan empati dalam setiap perbuatan.

Budaya “Main Singgah”, Masih Relevan atau Perlu Diperhalusi?
Dalam masyarakat kita, terutamanya di kampung, ada satu budaya tidak rasmi yang sudah lama diamalkan, iaitu ‘main singgah’ ke rumah sesiapa sahaja pada hari raya tanpa memberitahu terlebih dahulu. Niatnya tentu sekali baik; untuk menyambung silaturrahim. Namun, tanpa kita sedari, amalan ini boleh mendatangkan kesulitan kepada sesetengah tuan rumah.

Ada keluarga yang mungkin baru pulang dari kampung, ada yang masih menguruskan rumah yang berselerak, atau mungkin ada yang tidak sihat. Tidak semua orang berada dalam keadaan bersedia untuk menerima tetamu setiap masa, walaupun dalam suasana Aidilfitri.
Keperluan Memahami dan Menghormati
Justeru, dalam menziarahi, kita perlulah memberi notis sebelum datang, walaupun sekadar satu mesej ringkas, yang menjadi satu bentuk pertimbangan yang besar nilainya buat tuan rumah. Ia bukan sahaja memberi ruang kepada tuan rumah untuk membuat persediaan, tetapi juga menunjukkan bahawa kita menghormati masa dan keadaan mereka.

Sebagai tetamu, kita juga digalakkan untuk datang pada waktu yang sesuai dan tidak terlalu lama bertandang. Jika tuan rumah meminta untuk kita datang pada masa lain, terimalah dengan hati yang terbuka — kerana bukan mudah untuk menyenangkan semua pihak, lebih-lebih lagi dalam suasana yang serba mencabar.
Ziarah bukan sekadar hadir dan menjamah juadah. Ia tentang membina kembali hubungan, menyemai kasih sayang, dan memberi kegembiraan kepada insan yang kita lawati. Apabila ziarah dilakukan dengan penuh adab dan kepekaan, insya-Allah ia akan meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam dan berpanjangan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita perlahan-lahan mengubah pendekatan kita dalam budaya ziarah. Bukan untuk menolak tradisi, tetapi untuk menyesuaikannya dengan realiti kehidupan hari ini. Dengan sedikit keprihatinan, kelembutan, dan rasa hormat, kita bukan sahaja mengekalkan kemanisan Aidilfitri, tetapi turut memelihara hati insan-insan di sekeliling kita.
Dengan berbaki dua minggu sebelum Syawal menutup tirai, sama-sama tukar gaya ziarah kita tahun ini kepada yang lebih baik agar dapat membawa lebih banyak senyuman, dan bukan kelelahan yang tersembunyi.
sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.