Pernahkah kita terfikir, andai kata ini adalah Ramadan terakhir yang dapat kita rasai?

Serasa bagai baru sahaja semalam kita mula berpuasa, tetapi dalam beberapa hari lagi kita sudah memasuki 10 malam terakhir.

Malam-malam yang amat dituntut untuk kita perbanyakkan amal ibadat bagi mendapatkan Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam yang diletakkan ganjaran kepada mereka yang beramal seolah-olah mereka telah hidup berpuluh-puluh tahun lamanya.

Dalam suatu hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah RA yang bermaksud:

“Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi ibadah Baginda pada (hari-hari) selainnya.” – Riwayat Muslim (1175)

Sedangkan Rasulullah SAW yang sememangnya dijanjikan syurga juga tetap meneruskan ikhtiar untuk dapatkan pahala lebih, tapi kita umatnya masih juga liat dan beralasan.

Tipu kalau kita yang sudah besar panjang, sudah lalui Ramadan berpuluh kalinya masih tidak tahu kelebihan Ramadan.

Dalam Surah Taha, Allah SWT ada berfirman yang bermaksud,

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. – Surah Taha:124

Sia-siakan Ramadan yang datangnya hanya sebulan sahaja dalam setahun, maka tidak mustahil jika kita tergolong dalam kalangan mereka yang sombong kerana ia ibarat mensia-siakan peluang yang Allah berikan.

Jadi, apa akibat sekiranya ini benar-benar Ramadan terakhir? Pada saat orang lain sibuk mengumpul pahala, kita masih leka dan bakal menghadap Allah SWT berbekalkan amalan yang apa adanya…

Nauzubillah.

Justeru, hayatilah Ramadan yang berbaki beberapa hari lagi ini dengan setinggi-tinggi penghayatan. Semoga kita tidak pernah lelah untuk beramal ibadah demi mendapatkan rahmat dari-Nya.

Amin.

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author

Write A Comment