Ramadan dari sudut Islam merupakan bulan ibadah yang mewajibkan semua umat Islam untuk berpuasa dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari.

Setiap kali tibanya bulan ini, kita pasti akan teruja kerana bulan sebegini hanya datang sekali sahaja dalam setahun dan bermacam-macam kelainan yang ada di bulan ini, tidak kira dari segi masyarakat mahupun suasana.    

Mengikut pengalaman admin sendiri, waktu kecil-kecil dahulu, apabila tibanya Ramadan, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah menu air apa yang ibu akan hidangkan untuk berbuka.  

Kebiasaannya, setibanya Ramadan, serasa bagai panas sahaja sepanjang hari dan mungkin inilah yang menjadi punca dehidrasi sehingga dalam kepala seharian lebih memikirkan air berbanding makanan.

Tambahan, setakat yang admin ingat, belum pernah lagi musim Ramadan dalam waktu tengkujuh. Seolah-olah kita diuji untuk bersabar menjalani ibadah puasa terutamanya apabila kita terikat dengan komitmen seperti kerja ataupun sekolah.

Berbalik kepada waktu berbuka puasa tadi, sejak dari dulu sehinggalah sekarang, menu berbukalah yang sering dinanti-nanti setiap hari, lebih-lebih lagi air! Lagi seronok apabila berbuka bersama keluarga secara besar-besaran, memang meriah. Dengan suasana girang anak-anak kecil berlari-larian.

Orang dulu-dulu apabila menyediakan kuih untuk berbuka, mahu makan berhari-hari untuk disiapkan. Tapi, sekarang, beberapa jam sahaja dengan bantuan pelbagai jenis mesin yang bersesuaian.

Kalau nak diikutkan, bukan setakat kuih, buat apa pun makan masa yang lama! Boleh jadi, itulah penyebab mereka lebih menghargai semua yang ada berbanding kita. Apatah lagi dengan sikap kejiranan yang tinggi. Sentiasa bertukar-tukar rezeki berbuka supaya sama-sama dapat merasa serba sedikit, sehingga begitu sekali orang dulu meraikan bulan yang mulia ini.

Zaman sekarang? Kuih-muih yang ibu kita hidangkan waktu berbuka sudah bermacam-macam jenis. Itu bukan setakat beli, buat sendiri pun boleh dapat banyak oleh kerana kemudahan yang ada sekarang.

Namun, oleh kerana hidup yang terlebih pentingkan diri sehingga jiran tetangga pun tidak bertegur sapa, akhirnya telah menjadi punca kepada pembaziran makanan dek kurang rasa mensyukuri dan tidak berkongsi rezeki.

Walau bagaimanapun, Ramadan tetap Ramadan yang sama.

Kita masih perlu menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Seronoknya mungkin sudah berubah, mungkin akibat faktor usia, tetapi pahala yang dikejar tidak pernah berubah selagi mana kita berterusan beramal soleh.

Semoga kita disampaikan usia untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadan ini. Selamat menjalani ibadah puasa!

Jom #BuatBaik!

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author Admin

Write A Comment