Pasti kita pernah mempersoalkan atau paling tidak pun mungkin pernah memikirkan sama ada Ramadan dapat memberi kesan terhadap kesihatan kita. Lebih-lebih lagi kerana rata-rata semestinya akan berasa longlai dan lemah sahaja seharian, hanya meniti masa untuk berbuka, anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa apatah lagi.

Dengan keadaan sebegini yang berlangsung selama sebulan, badan yang asyik berasa lesu di siang hari, semestinya kita kurang motivasi serta keupayaan untuk melakukan aktiviti cergas seperti bersukan, berjoging, atau sekadar memanaskan badan.

Berkurangnya aktiviti sihat secara tidak langsung telah menyebabkan kadar produktiviti kita berkurangan, tambahan untuk mereka yang hanya bekerja dari rumah ataupun suri rumah sepenuh masa.

Kebaikan berpuasa untuk kesihatan

Menurut laman rasmi Majlis Keselamatan Negara, berpuasa dapat membantu mengawal diabetes. Kajian di Qatar yang bertumpukan pesakit diabetes muslim dalam lingkungan umur 18 tahun ke atas telah menunjukkan bahawa berpuasa dalam bulan Ramadan secara khususnya memberi kesan penurunan terhadap tahap kolestrol, tekanan darah dan glukosa dalam darah mereka.

Selain itu, sejak dari dulu, berpuasa pada bulan Ramadan telah menjadi motivasi untuk kurus bagi mereka yang mengharapkan berat badan berkurangan. Pada hakikatnya, melalui puasa Ramadan, jika tidak banyak sekali pun, berat tetap akan berkurangan oleh sebab kurang makan dan minum dalam tempoh masa yang lama. Tambahan, ini juga dapat mengurangkan risiko penyakit-penyakit berbahaya seperti penyakit kardiovaskular.

Di samping itu, terasa lelah itu adalah kebiasaan apabila berpuasa, namun ia juga diunsurkan sebagai amalan yang bagus untuk otak. Meski kita mungkin akan terasa mengantuk juga, akan tetapi ia membantu kita untuk lebih fokus dan lambat nyanyuk.

Dengan berpuasa juga kita dapat atasi sebarang ketagihan sebagaimana kita disyariatkan untuk mengawal nafsu pada bulan yang suci ini. Ketagihan seperti menghisap rokok, minum kopi dan juga amalan pemakanan tidak sihat yang dapat menjejaskan tahap kesihatan seseorang itu dapat diatasi.

Dapat kita simpulkan bahawa kesihatan diri bergantung kepada amalan pemakanan dan melalui berpuasa selama sebulan inilah yang insya-Allah akan dapat mensucikan kembali dalaman kita.

Walau bagaimanapun, hal ini seiring dengan kuantiti serta jenis makanan yang kita ambil ketika berbuka yang perlulah berpada-pada dan seimbang supaya sasaran bagi membaiki tahap kesihatan kita tercapai.

Semoga kelebihan-kelebihan ini dapat memberi motivasi kepada kita semua untuk berterusan berpuasa di samping mendapatkan kesihatan yang lebih baik.

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author Admin

Write A Comment