10 Muharram iaitu Hari Asyura, sebelum Hijrah adalah suatu hari yang dimuliakan dan seolah-olah menjadi amalan wajib bagi Rasulullah SAW untuk berpuasa.

Namun, setelah kita diwajibkan berpuasa sebulan bulan Ramadan pada tahun kedua Hijrah, kewajipan tersebut telah digugurkan dan diberikan pahala Sunnah kepada yang mengerjakannya.

Tambahan, Hari Asyura ini telah dikaitkan dengan beberapa peristiwa penting pada ketika itu dan antaranya adalah pada hari Allah SWT selamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israel daripada Firaun dan musuh-musuh mereka.

Suatu hadis ada menyebutkan:

Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.”
(Riwayat al-Bukhari)

Dalam suatu dalil lain turut menyebutkan tentang kelebihan 10 Muharram ini iaitu yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah RA, sabda Rasulullah SAW:

Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.”

Riwayat Ibn Majah

Malah, tidak semestinya hanya pada 10 Muharram, hari-hari lain dalam bulan tersebut turut dianjurkan untuk berpuasa kerana bulan Muharram adalah bulan Allah. Rasulullah SAW ada menjawab persoalan seseorang yang bertanya tentang bulan yang diperintahkan berpuasa setelah Ramadan, dan Baginda SAW menjawab:

Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Jadi, demikianlah kelebihan 10 Muharram serta bulan Muharram secara keseluruhannya. Sungguh rugi sekiranya kita sebagai manusia biasa ini memandang enteng akan kelebihan yang bakal diganjarkan.

Sebagaimana kita melakukan amal ibadah lain pada bulan Ramadan, segala amalan-amalan tersebut sekiranya dilakukan pada bulan Muharram di samping berpuasa akan turut diberi ganjaran yang sama seperti berpuasa!

Insya-Allah. Semoga segala kebaikan yang kita lakukan selari dengan niat.

Jom #BuatBaik bersama sumbangan.com!

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author Admin

Write A Comment