Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan bidaah?
Bidaah merujuk kepada amalan baru yang diwujudkan yang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan hadis, dalam kata lain, ajaran sesat.
Kenapakah meski sudah bertahun-tahun, malah berabad-abad lamanya maulud dianjurkan namun masih juga ia menjadi suatu isu?
Kita dibesarkan dalam budaya cerminan Rasulullah SAW di mana baginda merupakan panduan hidup terbaik bagi meraih pahala yang berlipat ganda, juga disebut sebagai sunnah.
Dari sekecil-kecil amalan, hingga ke sebesar-besar amalan, serta sambutan-sambutan yang sering dilakukan, berterusan menjadi ikutan sehingga ke hari ni.
Walau bagaimanapun, pada tarikh keramat 12 Rabiulawal yang disambut secara besar-besaran meraikan kelahiran baginda SAW, telah dihujahkan sebagai bidaah kerana tidak pernah dilakukan oleh baginda dan para sahabat.
Menurut penulisan seorang pensyarah dari UniSZA, pendapat tersebut disokong lagi dengan tuduhan bahawa kita yang menyambut Maulid Rasul seolah-oleh meraikan kewafatan baginda kerana tarikh yang sama adalah tarikh wafatnya.
Akan tetapi, pendapat hanyalah pendapat jika tidak seiring dengan fakta. Tambahan, tarikh tersebut dipersetujui ahli sejarah sebagai hari kelahirannya, bukan kewafatan, namun jika benar sekalipun tarikhnya adalah sama, ia tetap tidak bercanggah kerana niat kita adalah untuk meluahkan kegembiraan dengan kelahirannya, bukanlah yang sebaliknya.
Dalam penulisan tersebut juga ada menerangkan bahawa Majlis Fatwa Negara Palestin manyatakan yang majoriti ulama meletakkan hukum sambutan Maulid Rasul sebagai sunat dengan menghidupkan hari tersebut dengan alunan zikir, selawat dan kesyukuran, manakala di Malaysia pula meletakkannya sebagai harus dan termasuk dalam bidaah hasanah (baik).
Justeru, niat di hatilah yang memainkan peranan sebenar. Dengan niat yang baik, maka pahala juga akan datang mengalir, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pujian buat junjungan besar kita.
Moga-moga bulan ini dapat memperkukuhkan ketakwaan kita, dan memupuk rasa cinta dan sayang yang mendalam terhadap kekasih Allah SWT ini, Rasulullah SAW.
Jom #BuatBaik!
sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.