“Sesiapa yang memiliki haiwan korban untuk disembelih, apabila kelihatan anak bulan Zulhijah, maka janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”

[Riwayat Muslim]

Ada yang menanyakan bilakah mulanya dan gugurnya hukum larangan untuk peserta korban sekiranya mereka melakukan korban di luar negara yang mempunyai zon masa yang berlainan.

Menurut laman Mufti, para peserta perlulah mengikut zon masa tempat keberadaannya sehingga haiwan korbannya selesai disembelih.

Dalam kata lain, sekiranya peserta tersebut berada di Malaysia dan melaksanakan korban di Mekah, maka apabila bermulanya 1 Zulhijjah di Malaysia bermakna bermulanya pantang larang tersebut sehinggalah haiwannya selesai disembelih.

Namun, apakah larangan-larangannya?

Ia dikaitkan dengan kuku serta semua jenis rambut di badan yang tidak boleh dibuang, dipotong, mahupun dicabut. Sunat hukumnya bagi mereka yang melaksanakan korban untuk mematuhi larangan ini, dan melanggarnya adalah makruh.

Sebagaimana kita tahu, makruh bererti seseorang itu tidak mendapat pahala ataupun dosa dari perkara yang dilakukan. Jadi, jika kita tetap melanggar larangan tersebut yang tujuan utamanya adalah untuk pahala, tidakkah rugi?

Sesungguhnya mematuhi larangannya bagi mendapatkan sebanyak mungkin pahala sementara menanti tibanya tarikh sembelihan korban kita, adalah jauh lebih baik dari tidak mendapat apa-apa.

Bukan sahaja memperoleh pahala, malah insya-Allah ibadah korban nanti turut diberkati.

Justeru, diharapkan ibadah korban kita pada tahun ini diterima dan moga rezeki akan terus mengalir agar kita dapat melaksanakannya lagi pada tahun-tahun ke depan.

sumbangan.com,
Memudahkan Kebaikan.

Author Admin

Write A Comment