Sedekah adalah perbuatan memberi sesuatu kepada orang yang memerlukan tanpa mengharap balasan, semata-mata hanya berharap redha Allah SWT. Sedekah subuh merupakan amalan yang dicintai oleh Allah SWT. Sebagaimana yang tertulis di dalam Al Quran, surah Al Baqarah ayat 245;

“Barang siapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya lah kamu dikembalikan.”

Subuh pula adalah waktu pergantian gelap menjadi terang. Bagi seorang muslim, subuh merupakan waktu yang banyak keberkatan di dalamnya. Salah satu aktiviti yang dianjurkan pada waktu subuh selain menunaikan solat fardhu subuh adalah sedekah subuh.

Sedekah Subuh adalah sedekah yang dilakukan ketika subuh, selepas selesai solat fardhu subuh hingga terbitnya matahari. Sedekah subuh merupakan salah satu amalan yang boleh membawa umat Islam menuju ke syurga Allah SWT. Abdul Aziz bin Umair pernah berkata, “Solat membawa menuju setengah perjalanan, puasa membawa pada pintu kerajaan, dan sedekah memasukkanmu ke dalamnya”.

Antara 5 Kelebihan Sedekah Subuh

1. Sentiasa didoakan oleh Para Malaikat

Kata Syeikh Ali Jaber, semua waktu adalah yang baik untuk kita bersedekah. Akan tetapi, sedekah subuh adalah yang paling baik,paling power , dan yang paling cepat terkabul hajat kita. Bila ditanya kenapa sedekah subuh ini power? Kerana setiap waktu subuh Allah SWT turukan malaikat yang tugasnya hanya satu iaitu mendoakan orang yang berinfak di subuh hari. 

Terdapat sebuah hadis tentang sedekah subuh: “Tidak ada satu subuh pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa, ‘Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfak’, sedangkan yang satunya lagi berdoa ‘Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan hartanya.” – HR. Bukhari & Muslim

2. Mudah dikabulkan doa dan permintaan

Kelebihan sedekah subuh seterusnya adalah sedekah membuka pintu doa supaya mudah diterima Allah SWT. Oleh itu disarankan apabila kita bersedekah, kita boleh berdoa, niatkan semoga sedekah subuh yang kita beri, Allah dapat permudahkan segala urusan kita.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi (menyelesaikan) kesulitan orang lain.” (HR. Ahmad) 

3. Pembuka pintu rezeki

Banyak manfaat dan kelebihan yang dapat seorang muslim rasakan jika bersedekah subuh, dibukakan pintu rezeki dan dimudahkan urusannya oleh Allah SWT. Di dalam Al Quran, surah Saba ayat ke 39. 

“Katakanlah, “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya).” Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”

Harta yang berkat adalah harta yang memiliki banyak nilai manfaat baik di dunia dan di akhirat. Dalam sebuah hadith dikatakan bahawa: “Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya.” – HR. Muslim

4. Menghapus dosa dan kesalahan

Jika kita bersedekah dengan hati yang ikhlas dan tulus mengharap redha Allah SWT, ianya dapat menghapus segala dosa dan kesalahan. Jom jadikan sedekah subuh sebagai rutin harian sebelum membuat sesuatu pekerjaan.

Dalam hadis disebutkan, “Sedekah itu dapat menghapus dosa sebagaimana air itu memadamkan api.“ (HR. At-Tirmidzi)

5. Kebaikannya akan dilipatgandakan

Saat kita bersedekah dengan hati yang tulus dan ikhlas, harta kita tidak akan berkurang. Allah SWT akan melipatgandakan kebaikan yang telah kita berikan. Setiap amalan baik yang dilakukan pasti akan ada ganjarannya.

Hal ini tertulis dalam surah Al Baqarah ayat 261. 

“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui.”

Sedekah pada waktu Subuh ini memang banyak manfaat dan kelebihan. Ini kerana, ketika kita bersedekah untuk mendapatkan redha Allah SWT, sebahagian orang masih terlelap. Tidak kira lah sedekah besar atau kecil yang kita berikan, yang paling utama adalah keikhlasan hati dan niat.

Oleh kerana itu, selepas Subuh, sebaiknya kita tidak terus tidur dan digalakkan untuk mengamalkan sedekah ini dan jangan lupa ajarkan mengenai kelebihan dan maafaat sedekah subuh kepada si kecil agar pada masa yang akan datang, dia sudah terbiasa mengamalkanya dan mendapat berkat.

Bagi anda yang belum pernah sedekah subuh, segera amalkan. Sekarang, melalui sumbangan.com anda boleh bersedekah secara online. Mudah kan. 

Biar sikit, asalkan istiqamah.

Author Asyraf Muda

Write A Comment